fbpx

Memahami business model membolehkan anda mendapatkan gambaran keseluruhan tentang bisnes.

Pengetahuan ini akan membantu anda melihat dunia bisnes dengan lebih jelas dan objektif. Anda tidak akan dikaburi oleh drama, hype dan permainan politik.

Mari kita perincikan satu persatu komponen dalam definisi Business Model.

Ada 3 komponen yang mesti kita faham bila mahu borak mengenai business model:

Organisasi

Apabila disebut organisasi, definisi ini tidak terhad kepada perniagaan semata-mata. Organisasi boleh jadi individu, NGO, atau perniagaan.

Apa yang berbeza adalah apa matlamat mereka dan bagaimana mereka berinteraksi dengan komponen-komponen lain.

Mengumpul Nilai

Nilai boleh diertikan sebagai sumber atau modal. Modal inilah yang digunakan bagi menjana nilai yang lebih besar. Sumber ini boleh jadi sumber diri sendiri atau sumber dari orang lain.

Sebagai contoh, sebuah perniagaan boleh bermula dengan modal hasil simpanan pengasasnya ataupun meminjam daripada bank.

NGO pula mengumpul tenaga kerja daripada para sukarelawan dan sumbangan daripada para dermawan.

Individu pula boleh bermodalkan kemahiran yang ada pada dirinya sendiri atau belajar kemahiran baru daripada orang lain.

Mencipta Nilai

Nilai selalunya hadir dalam dua bentuk iaitu produk dan perkhidmatan. Sebagai contoh restoran nasi lemak menggunakan beras, santan dan sebagainya bagi menghasilkan produk nasi lemak.

NGO pula menggunakan wang dari orang ramai bagi membiayai anak yatim dan memberikan mereka tuisyen daripada para sukarelawan.

Individu pula menggunakan kemahirannya mengurut bagi memberi perkhidmatan kepada atlit yang tercedera.

Nilai juga sinonim dengan keuntungan, terutamanya bagi perniagaan. Perniagaan mesti menghasilkan keuntungan hasil produk atau perkhidmatan yang dijana dari sumber yang dikumpulkan. NGO pula mengukur nilai sosial atau impak.

Sebagai contoh, sebuah NGO mungkin mempunyai KPI berapa ramai anak yatim yang dapat mereka biayai setiap tahun. Sumber yang dikumpulkan hanya perlu cukup untuk menanggung kos operasi dan tidak perlu ada lebihan keuntungan.

Individu pula boleh memilih berapa banyak nilai sosial dan nilai ekonomi yang hendak dihasilkannya. Sebagai contoh seorang guru di luar waktu kerja rasminya boleh memilih untuk menambahkan nilai ekonomi dengan mengajar tuisyen berbayar atau meningkatkan impak sosial dengan memberi tuisyen percuma.

Menyalurkan Nilai

Apabila sudah ada produk atau perkhidmatan, persoalan seterusnya adalah ke mana dan kepada siapa nilai itu disalurkan? Sebagai contoh, restoran nasi lemak boleh dibuka di Putrajaya dengan para penjawat awam sebagai pelanggan sasarannya.

Pilihan lain pula adalah membuka restoran tersebut di pusat membeli-belah yang mempunyai ramai pengunjung tempatan dan pelancong asing.

NGO yang menjaga anak yatim pula boleh memilih untuk menaja anak yatim sedia ada yang menetap di rumah anak yatim yang sudah beroperasi atau membuka sebuah rumah anak yatim sendiri.

Anak-anak yatim itu pula boleh jadi di dalam atau luar negara. Individu yang mempunyai kemahiran mengurut atlit pula boleh memillih untuk berkerja sepenuh masa dengan Majlis Sukan Negara atau berkerja sendiri dari rumah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *